Saturday 11 June 2011

Penangan Cinta Terhadap Kehidupan Manusia............

Penangan Cinta Terhadap Kehidupan Manusia............

" Cinta inilah yang menjadi ruh kehidupan. Cinta inilah yang akan menghidupkan. Ia akan mengikat dan membangkitkan. Akan mengelorakan. Mengarah dan mengerahkan. Serta memerdekakan kita dari penjara nafsu dan syahwah serta dunia yang mengelirukan. Bahkan menjauhkan kita daripada tipuan keindahan dunia yang menjijikan, kotor dan merosakan! "

Itu sahaja. Cukuplah, jika sebut cinta – Ia mengambarkan hakikat di atas. Dan, dengan cinta inilah lahirnya kisah-kisah, cerita-cerita dan pengalaman-pengalaman yang menggamit rasa.

Dengan cinta , seorang hamba akan menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Allah SWT . Setiap detik dan masa – segala-galanya diluruskan untuk menggapai keredhaan-Nya tanpa ragu-ragu dan hilang percaya. Akhirnya, lahirlah manusia-manusia yang luarbiasa dalam pengorbanan, kesungguhan dalam beramal dengan penuh kenikmatan serta kelazatan dan keteguhan pada ajaran-Nya yang Esa yang benar-benar kuat.

Dengan cinta, lihatlah pengorbanan seorang insan yang berjiwa kasih lagi mulia – Muhammad SAW yang mengorbankan seluruh harta, masa, wang sehingga nyawa untuk menyampaikan risalah agung ini. Bayangkan keseluruhan kehidupan baginda adalah untuk komitmen dakwah yang tiada tandingannya. Usaha yang menggugah seluruh perasaan yang benar-benar merasai perjalanan susur galur keperitan, kesusahan dan kepayahan penyebaran Dakwah!

Dengan cinta, bertemu dua hati yang berbeza jantina dalam sebuah ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Cinta menyimbahi setiap kehidupan mereka untuk sama-sama mengharungi bahtera rumahtangga yang tidak pernah sunyi daripada ujian, dugaan dan cabaran. Cintalah yang akan membawa titik perbezaan kepada keindahan persamaaan yang akan membawa kepada keredhaan Ilahi.

Dengan cinta, hayatilah kejerihan dan ketekunan insan yang bernama ibu dan ayah. Si Ibu bersengkang mata membelai dan menjaga anak dengan jiwa yang dipenuhi kasih sayang yang penuh. Ayah – berhempas pulas mencari nafkah untuk pembesaran anak-anak dengan baik tanpa rungutan dan keluhan walapun keringatnya menggambarkan wajah kepenatan yang bersangatan.

Dengan cintalah, Sang Penyeru dan Dai – menyerahkan kehidupan mereka untuk kerja dakwah dan tarbiyah. Setiap hembusan nafas adalah untuk menggerakan ruh dakwah sehingga Islam itu memayungi dunia dengan kebenaran, keadilan dan rahmat daripada Allah SWT. “ Dakwah adalah nadi kehidupan.” – Menjadi sebahagian kehidupan gerak kerja mereka sehingga bertemu Allah SWT.

Wallahu'alam.................






...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment